Sunday, May 18, 2008

Permainan Blok

Permainan blok walaupun tidak secanggih permainan-permainan lain yang diiklankan di TV, tetapi sangat sesuai untuk dijadikan alat bagi merangsang perkembangan kanak-kanak secara keseluruhan. Blok yang didatangkan dalam pelbagai bentuk, saiz dan warna dapat dimanipulasikan oleh kanak-kanak dan ibubapa bagi merangsang minda dan pembelajaran dari usia anak seawal peringkat bayi hingga ke tahap persekolahan. Permainan yang juga begitu fleksibel ini membantu mengembangkan daya imiginasi kanak-kanak apabila mereka dengan mudah dapat mempelbagaikan cara-cara bermain. Mereka bukan setakat belajar membina, malah kanak-kanak akan memahami konsep keseimbangan, konsep matematik, belajar mencipta sesuatu, belajar menyelesaikan masalah dan sebagainya.

Harga permainan blok bergantung kepada kualiti dan kuantiti. Semakin tinggi kualiti dan kuantiti, semakin mahal harganya namun ia berbaloi untuk dibeli memandangkan permainan ini tahan lama, boleh digunakan dari seorang anak ke seorang anak asalkan kita menjaganya dengan baik agar unit-unit bloknya tidak hilang. Bagi keluarga yang kurang berkemampuan, terdapat blok yang agak murah harganya.

Bagaimana Blok Membantu Merangsang Perkembangan Kanak-Kanak

Perkembangan Sosial

Permainan blok mendorong kanak-kanak berkawan dan bekerjasama di dalam sesuatu kumpulan. Mungkin permainan blok ini merupakan pengalaman pertama kepada kanak-kanak yang masih kecil barmainan dalam kumpulan sedangkan bagi kanak-kanak yang lebih besar, ia mendidik mereka bekerjasama untuk menyelesaikan sesuatu masalah.


Perkembangan Fizikal

Permainan blok membantu perkembangan fizikal apabila kanak-kanak mengambil, menyusun dan memadankan blok untuk membina sesuatu. Mereka membina kekuatan pada jari dan tangan serta menambah daya koordinasi antara mata dan tangan.

Perkembangan Minda

Permainan blok membantu kanak-kanak belajar pelbagai konsep matematik seperti campur, tolak, darab dan bahagi bagi kanak-kanak pra sekolah. Bagi kanak-kanak yang lebih kecil, mereka akan mempelajari perbendaharaan kata seperti, warna, saiz, bentuk dan kedudukan. Bagi kanak-kanak sekolah pula, mereka mempelajari konsep gravity, keseimbangan geometry dan sebagainya.

Perkembangan Kreatif

Permainan blok menyediakan peluang bagi kanak-kanak untuk membina sesuatu mengikut daya imaginasi masing-masing. Kanak-kanak akan mendapat kepuasan dengan hasil ciptaan mereka. Bagi menambah daya kereatif ini ibubapa hendaklah selalu bertanya dan meminta anak-anak menerangkan atau menceritakan tentang ciptaan mereka.

Permainan Blok Mengikut Tahap Umur

Peringkat Bayi

Untuk bayi yang berumur di bawah 5 bulan (belum boleh duduk), blok yang paling sesuai ialah blok yang besar, berwarna hitam dan putih dan diperbuat dari bahan yang agak ringan seperti plastik. Ibubapa boleh tunjukkan blok ini kepada bayi untuk merangsang penglihatan. Sesetengah blok mempunyai bunyi bila digoncang. Ini sesuai untuk merangsang pendengaran.

Apabila bayi berumur 7 - 8 bulan, sediakan blok yang berwarna terang, Ketika ini, ibubapa sudah boleh mempelbagaikan aktiviti. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menyeronokkan bayi malah boleh mengembangkan kosa kata bayi apabila ibubapa menerangkan aktiviti yang dilakukan seperti menyebut pelbagai warna blok, bentuk, saiz, gambar-gambar yang terdapat pada blok, nombor dan sebagainya. Apa yang penting ialah menggunakan permainan ini untuk menerangkan pelbagai perkara kepada bayi,

Selain dari itu, blok boleh digunakan untuk merangsang perkembangan fizikal. Letakkan blok yang berwarna-warni jauh sedikit dari bayi dan biarkan bayi merangkak untuk mendapatkan blok-blok tersebut. Ibubapa jugak boleh membina sesuatu dari blog dan membiarkan bayi meruntuhkan binaan tersebut atau membantu bayi membalingkan blok tersebut. Aktiviti-aktiviti seperti itu sebenarnya membina kekuatan pada otot-otot dan fizikal bayi.

Peringkat toddler

Kanak-kanak yang berusia di antara 12 – 15 bulan biasanya lebih menggemari blok yang lembut ( sama seperti bayi). Apabila berusia dalam lingkungan 15 bulan ke atas, ibubapa digalakkan memberi blok yang diperbuat daripada kayu dan mempunyai nombor/huruf/gambar dipermukaannya. Blok kayu adalah lebih baik daripada blok plastik kerana ia lebih berat dan mempunyai permukaan yang rata serta tahan lebih lama. Ini memudahkan kanak-kanak membina sesuatu daripada blok tersebut. Ibubapa perlu mempelbagaikan bentuk dan warna blok tetapi pada peringkat ini adalah lebih baik memilih saiz yang agak besar kerana kanak-kanak pada tahap ini belum boleh mengendalikan blok yang bersaiz kecil. Di antara aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan dengan blok ini ialah:-
- mengenalkan nombor/huruf/gambar. Perkenalkan satu atau dua huruf/nombor/gambar/ pada satu masa
- mengangkut dan memunggah blok dengan truck mainan
- menyusun blok kemudian menggolekkan bola untuk meruntuhkan susunan blok tersebut

Peringkat Pra Sekolah


Kanak-kanak pra sekolah telah mampu mengendalikan blok-blok yang lebih kecil. Pada tahap ini, kanak-kanak pra sekolah mempu membina sesuatu yang bermakna daripada blok tersebut seperti membina masjid, hospital, rumah dan sebagainya. Ibubapa perlu menyimpan blok di tempat yang mudah dicapai oleh kanak-kanak. Selain dari blok, ibubaoa digalakkan menyediakan permainan-permainan lain seperti kereta mainan, binatang mainan dan sebagainya untuk digunakan oleh kanak-kanak ketika mereka bermain blok. Semua ini akan meningkatkan daya imaginasi dan creativity mereka.


Peringkat Kanak-kanak Sekolah

Pada tahap kanak-kanak sekolah pula, mereka telah mampu membina sesuatu yang lebih canggih dan kompleks daripada blok. Ibubapa perlu menyediakan blok yang lebih banyak dari segi kuantiti dengan pelbagai bentuk, saiz dan warna agar imaginasi dan kreativiti mereka untuk membina sesuatu yang lebih rumit tidak terbantut.

Sebagai kesimpulan, permainan blok merupakan satu permainan yang baik untuk perkembangan kanak-kanak di semua peringkat dan tahap umur dari bayi hingga ke peringkat kanak-kanak sekolah. Permainan blok banyak membantu perkembangan kanak-kanak secara holistik asal saja ibubapa mengambil bahagian, memahami serta membeli peluang dan galakan kepada anak-anak mereka.



3 comments:

  1. bagus kan permainan blok nie...

    ingat dulu time kecil2.. suka membina menggunakan blok.. mcm-mcm yang dicipta...

    ReplyDelete
  2. Salam kenal...nak copy link nie bole...hrp dizinkan...tq...

    ReplyDelete
  3. Liessa..salam kenal. InsyaAllah boleh copy link ni..tak ada masalah.

    ReplyDelete