Sunday, May 11, 2008

Perkembangan Otak Kanak-kanak

Tiga tahun pertama dalam kehidupan kanak-kanak merupakan waktu di mana perkembangan otak berlaku dengan pesat. Walaupun perkembangan otak terus berlaku selepas itu tetapi tiga tahun pertama merupakan waktu yang paling kritikal. Ketika ini otak lebih fleksibel dan bersedia untuk mempelajari sesuatu. Berat otak bayi ketika dilahirkan ialah 25% daripada berat otak orang dewasa. Ketika mencapai usia 3 tahun, otak bayi telah berkembang menjadi berjuta- juta sel (yang terdiri dari neurons dan sel-sel otak yang lain). Sel-sel ini kemudiannya bercantum untuk membentuk berjuta-juta “jalinan” (synapses). Jalinan antara sel ini kemudian membentuk pusat kawalan yang kompleks bagi perkembangan mental, emosi, fizikal dan spiritual.


Pengalaman-pengalaman awal, samada positif atau negatif yang dialami oleh bayi dan kanak-kanak mempunyai kesan terhadap pembentukan “jalinan” sel-sel otak. Otak beroperasi dengan menggunakan perinsip “use it or lose it”. Hanya jalinan sel-sel yang sentiasa digunakan sahaja yang kekal. Perkembangan bahasa merupakan satu contoh terbaik untuk menunjukkan otak beroperasi mengikut perinsip tersebut. Pada usia 3 bulan, otak bayi berupaya membezakan pelbagai bunyi percakapan. Beberapa bulan selepas itu, otak mula belajar mengenali bunyi yang didengarinya. Pada peringkat awal, otak bayi mampu menyimpan bunyi yang pernah didengarinya. Sebagai analogy, bayangkan kita membuang sesuatu dokumen ke dalam “trash” di dalam komputer. Kita berupaya mencari semula dokumen tersebut selagi dokumen tersebut tidak dibuang terus dari komputer. Ini juga menerangkan mengapa kanak- kanak lebih mudah mempelajari pelbagai bahasa selain dari bahasa ibunda. Pada umur 10 tahun kebolehan ini semakin berkurangan dan jika masih tidak digunakan ia akan terus hilang. Kanak-kanak yang berumur 10 tahun ke atas masih mampu mempelajari bahasa asing tetapi memerlukan usaha yang lebih. Kita boleh bayangkan ketika berusia seperti kita, mampukah kita mempelajari bahasa asing dengan mudah semudah kanak-kanak di bawah usia 10 tahun?


Oleh kerana perkembangan otak bayi berkembang dengan aktif dan bayi pula sentiasa berada bersama ibubapa pada peringkat awal, maka tidak hairanlah ibubapa mempunyai pengaruh yang kuat terhadap perkembangan mereka. Sentuhan, pendengaran dan semua benda yang dilihat dan dihidu oleh bayi membantu pembentukan jalinan sel-sel otak. Sebab itulah ibubapa digalakkan meransang kesemua deria bayi dengan penuh kasihsayang untuk memastikan otak berkembang dengan sempurna. Perkembangan otak akan terhenti sekiranya ransangan tidak diberikan secara berterusan. Kanak-kanak yang dibesarkan tanpa ransangan yang sempurna biasanya mempunyai otak yang kecil berbanding dengan kanak- kanak yang mendapat ransangan dan didedahkan kepada pelbagai pengalaman. Para doktor mendapati, kanak-kanak yang dibesarkan di persekitaran yang kurang ransangan, otak mereka lebih menyerupai otak pesakit "Alzheimer's". Binatang-binatang yang dipelihara di zoo memunyai otak 20% - 30% lebih kecil daripada binatang-binatang liar yang hidup di hutan.


Satu kajian yang telah dibuat ke atas 1000 orang kanak-kanak yang terbiar tanpa ransangan, sentuhan, kasihsayang dan pengalaman yang sedikit dengan alat-alat permainan (toys). Kajian tersebut mendapati kanak-kanak tersebut mempunyai otak 20% - 30% lebih kecil dari kanak-kanak yang sebaya mereka yang mendapat ransangan sempurna. Separuh daripada kanak-kanak tersebut di dapati bahagian otak yang tidak mendapat ransangan telah hilang begitu saja.


Satu lagi kajian mendapati, kanak-kanak yang mengalami trauma seperti di dera dan melihat pembunuhan yang ngeri, mengalami kesan fizikal dan emosi yang berterusan walaupun kejadian itu telah lama berlalu. Kanak-kanak yang trauma ini mempunyai debaran jantung yang kuat, kadar hormon "stress" yang tinggi dalam darah dan mengalami gangguan tidur. Semua ini adalah disebabkan pengalaman ngeri yang mereka alami yang kekal tersimpan di dalam otak mereka. Sekiranya trauma ini tidak ditangani dengan baik, kanak-kanak tersebut akan mengalami masalah emosi, tingkah laku dan pembelajaran.


Bayi dan kanak-kanak akan mempelajari sesuatu melalui interaksi dengan persekitaran. Bayi menangis ketika lapar dan tidak selesa, Apakah tangisan itu mendapat perhatian atau sebaliknya? Sekiranya ibubapa memberi respon yang positif terhadap tangisan dan memenuhi keperluannya, bayi itu akan merasa selamat (secure) dan memfokuskan perhatian untuk meneroka persekitarannya. Ini akan membantu perkembangan otak bayi tersebut. Sebaliknya, kalau tangisan dan keperluannya tidak mendapat perhatian dan tidak dihiraukan ataupun mendapat perhatian secara negatif (seperti herdikan atau tengkingan), bayi tersebut akan merasa tidak selamat dan memfokuskan seluruh perhatiannya untuk memastikan keperluannya dipenuhi. Ini akan menyebabkan bayi tersebut akan hilang tumpuan dan mengalami kesukaran untuk berinteraksi dengan persekitaran (manusia dan objek). Lama kelamaan, sekiranya keadaan ini berterusan perkembangan otak akan terbantut.


Mungkin kita tertanya-tanya, apakah pengaruh genetic terhadap perkembangan dan kecerdasan kanak-kanak? Faktor baka atau genetic memang memainkan peranan dalam menentukan kepintaran dan kecerdasan seseorang kanak-kanak, Namun begitu, keadaan keliling tempat seseorang itu membesar sesungguhnya menjadi faktor penentu untuk menentukan sejauh mana bakat dan kepintaran yang diwarisi itu akan meningkat dan berkembang. Dengan lain perkataan, kedua-dua faktor ini saling kait-mengait dan bantu- membantu.


1 comment:

  1. Didikan dan pengaruh persekitaran banyak mempengaruhi perkembangan mental bayi..



    Mungkin dalam tidak sedar, kanak-kanak terdedah dengan peristiwa yang diluar pengetahuan dan kawalan ibu bapa... lalu peristiwa-peristiwa tersebut menjadi trauma kepada anak-anak tanpa disedari.. Bagaimana keadaannya untuk menangani kes seumpama ini?

    ReplyDelete