Sunday, May 11, 2008

Memahami Perkembangan Anak (3 - 6 bulan)



Perkembangan Sosial dan Emosi

Bayi yang berusia antara 3 - 6 bulan mampu berinteraksi dengan orang yang berada di sekelilingnya. Pada tahap ini biasanya bayi telah pandai mengeluarkan suara(seakan-akan bercakap), senyum dan ketawa. Bayi mempelajari bahawa dengan membuat aksi seperti ketawa, senyum, menangis dan meragam akan mendapat respon dari ibubapa dan orang-orang yang berada di persekitarannya. Inilah caranya bayi di tahap ini belajar membuat hubungan emosi dengan ibubapa dan orang-orang yang berada di selilingnya.

Pada masa yang sama, bayi juga mempelajari bagaimana mengawal emosi dalaman (seperti kegelisahan dan ketenangan) melalui rutin harian (seperti ketika mandi, makan dan masa bermain). Apa yang dialami oleh bayi ketika menjalani rutin-rutin harian ini akan membantunya mengenali lain-lain emosi seperti kegembiraan, kesedihan, keseronokan dan ketakutan.

Bagaimana ibubapa dapat membantu.

Bercakap-cakap dengan bayi sambil memandang ke matanya (eye-to-eye contact). Membalas senyuman dan ketawanya dan mendengar segala percakapannya (walaupun sukar untuk memahami bahasa bayi). Semua ini akan membantu bayi membuat hubungan emosi dengan persekitarannya.

Ibubapa perlu peka terhadap isyarat yang menunjukkan bayi telah penat atau bosan dengan sesuatu aktiviti. Apabila ini berlaku, hentikan aktiviti yang sedang dilakukan dan mulakan kembali atau tukar aktiviti lain bila bayi telah bersedia.

Memujuk dengan suara yang lembut, membuaikan bayi, mendukung, memeluk dan sebagainya dapat membantu mententeramkan bayi ketika mereka gelisah (distress). Ini semua akan membantu bayi mempelajari cara mengawal emosinya sendiri. Ibubapa juga boleh memberikannya objek seperti bantal kecil, anak patung dan sebagainya bagi membantu bayi mententeramkan emosinya.

Bila bayi semakin membesar, kadang-kadang kita tidak perlu mengangkat dan mendukungnya ketika mereka menangis dan meragam. Bayi telah mampu mententeramkan emosi hanya dengan mendengar suara atau melihat ibubapa. Namun ibubapa masih perlu membantu mengajar bayi cara-cara mengawal emosinya melalui “trial and error”. Ini amat penting kerana ia akan membuatkan bayi berkeyakinan untuk meneroka persekitarannya.

Perkembangan Mental

Peten dan Rutin

Pada tahap ini, bayi tidur pada waktu-waktu tertentu dan makan pada waktu-waktu tertentu, dan waktu dia berjaga juga sudah panjang jika dibandingkan dengan tahap sebelumnya. Bayi sudah mampu mengatur waktu tidur, makan dan bermain. Kebolehan otaknya yang sedang berkembang membantunya memahami apa yang dilihat, dihidu, didengari, disentuh dan dirasa. Ketika ini bayi menjadi lebih berwaspada (alert). Dalam persekitaran yang dirasakan selesa dan selamat, bayi akan meneroka dan bergerak balas terhadap persekitarannya lebih-lebih lagi terhadap manusia dan objek. Kita akan dapat melihat bagaimana bayi ditahap ini jika diberi barang permainan. Bayi akan membelek-belek barang permainan itu dan cuba membuat pelbagai perkara dengan barang permainan itu seperti mengetuk-ngetuk ke lantai dan sebagainya. Bayi telah dapat mengawal pergerakan otot-ototnya dengan lebih baik dan juga dapat berfikir untuk mencapai objek yang lebih jauh darinya.

Jika kita perhatikan dengan teliti, ada beberapa cara bayi pada tahap ini bermain dan meneroka persekitarannya. Sebagai contoh, bayi akan memasukkan apa saja objek yang berada di tangannya ke dalam mulut. Oleh kerana itu, sangatlah penting untuk memastikan semua barang permainannya dalam keadaan yang bersih dan selamat (mengelakkan bayi daripada tercekik). Bayi pada tahap ini juga suka mengulangi perbuatannya seperti menjatuhkan benda berkali-kali, memukul-mukul barang permainannya ke lantai dan sebagainya. Bayi telah mula menyedari bahawa aksi-aksi sebegitu mempunyai kesan ke atas manusia dan objek seperti benda yang dipukul berkali- kali ke lantai akan mengeluarkan bunyi dan membuatkan orang- orang di sekelilingnya ketawa melihat telatahnya.

Bagaimana ibubapa dapat membantu

• Membantu bayi dengan membuat jadual harian seperti masa makan, tidur, mandi dan bermain pada waktu-waktu yang tertentu.

• Tidurkan bayi di tempat yang selesa (agak gelap dan tidak bising dan tidak terlampau panas). Perkembangan otak akan terganggu jika bayi tidur dalam keadaan yang tidak selesa.

• Ibubapa perlu peka terhadap signal (tanda-tanda) bayi telah letih dan perlu tidur. Bayi yang terlebih ransangan akan menghadapi kesukaran untuk menenangkan dirinya.

• Ibubapa hendaklah memberi peluang bayi bermain mengikut keselesaannya sendiri kerana dari situlah bayi akan mempelajari sesuatu.

• Bermain dengan bayi permainan yang membantunya membuat ramalan dan memahami urutan (sequence) seperti permainan “ciku cak”.

• Menggunakan aktiviti harian seperti waktu mandi dan waktu menyalin lampin untuk belajar sesuatu tentangnya dirinya sendiri seperti mengenalkannya kepada bahagian-bahagian tubuh badan (tangan, kaki, jari dan sebagainya)

• Memberikan satu alat permainan pada satu-satu masa dan biarkan bayi membelek-belek permainan itu sebelum memberinya alat permainan yang lain. Kita dapat melihat bayi begitu gembira ketika mula-mula mendapat alat permainan dan lama-kelamaan dia akan berasa jemu. Apabila bayi telah jemu dengan satu-satu permainan, gantikan dengan yang lain. Lihat juga tanda-tanda yang menunjukkan bayi telah letih dan perlukan rihat. Ransangan yang berlebihan tidak mendatangkan apa-apa kebaikan terhadap perkembangan otak.

• Mengenalkan kepada bayi objek yang berlainan warna, saiz dan tekstur. Lihat objek yang menjadi kegemarannya.

Deria Penglihatan

Penglihatan bayi pada tahap ini adalah lebih baik dari tahap sebelumnya. Penglihatannya jelas (not double visison) dan sejajar (not crossed) dan berkebolehan bagi kedua-dua belah mata untuk fokus terhadap satu-satu objek. Sekiranya didapati bayi mempunyai masalah mata seperti “crossed eye” (mata juling), mulakan rawatan seawal mungkin kerana ia akan memberi kesan kepada objek yang dilihatnya (visual input).Pada tahap ini juga bayi dapat melihat objek yang agak jauh, objek yang berwarna dan objek yang bergerak.

Bagaimana ibubapa dapat membantu

• Perkembangan deria penglihatan akan berlaku walaupun tanpa ransangan tetapi dengan mendedahkan bayi kepada pelbagai pemandangan dan bercerita kepadanya apa yang dilihat, sedikit sebanyak akan memahirkan bayi menggunakan matanya. Pada tahap ini, TV bukanlah sesuatu yang baik untuk membantu mengembangkan deria penglihatan kerana pergerakan gambar-gambarnya terlalu cepat bagi bayi untuk mengikutinya. Ini akan memberi ransangan yang berlebihan dan akan menyebabkan bayi mudah letih dan terganggu emosinya. Adalah lebih baik jika kita menunjukkan satu pemandangan untuk satu-satu masa.

• Memberi peluang kepada bayi memerhatikan mimik muka kita dengan membuat interaksi “muka ke muka”.

• Memegang bayi dalam keadaan di mana dia berpeluang untuk melihat dengan baik muka kita, objek dan aktiviti yang dilakukan. Bila bayi sudah mula mampu untuk menggerakkan mata dan kepalanya pada masa yang sama, cipta aktiviti dan permainan yang membantunya mengesan pergerakan objek.

• Memberi peluang kepada bayi untuk melihat dirinya sendiri melalui cermin. Bayi akan tersenyum dan membuat pelbagai bunyi seolah-olah dia menegur individu yang dilihatnya di dalam cermin itu. Lama-kelamaan bayi akan belajar bahawa individu yang di dalam cermin itu adalah refleksi dirinya.

Deria Pendengaran

Pada tahap ini, otak bayi boleh membezakan bunyi percakapan yang sering didengarinya. Inilah yang akan membantu proses perkembangan bahasanya kelak. Bayi juga memberi respon yang baik terhadap bunyi muzik yang didengarinya. Belum ada kajian yang menunjukkan muzik “tertentu” boleh membantu perkembangan awal otak malah bayi akan memberi respon kepada semua jenis muzik yang didengarinya.

Bagaimana ibubapa dapat membantu

• Sesetengah ibubapa merasakan bahawa bercakap dengan bayi tidak mendatangkan faedah. Namun sebenarnya ia membantu dalam proses perkembangan bahasa. Jadi, selalulah bercakap-cakap dengan bayi, menceritakan apa yang dilihat dan dialaminya.

• Bunyi muzik kadang-kadang boleh mententeramkan bayi. Dalam keadaan bayi yang tidak tenteram, kita boleh cuba bernasyid dan menyanyikan lagu kanak-kanak. Inilah ketikanya ibubapa boleh menunjukkan bakat mereka dalam nyanyian dan nasyid ):

Deria Sentuhan, Rasa, Bau dan Pergerakan

Setakat ini, belum banyak fakta yang menunjukkan perkembangan dalam deria rasa, sentuhan dan bau. Ayunan atau membuai biasanya amat disukai oleh bayi. Ia dapat mententeramkan bayi yang keresahan. Namun ibubapa perlu berhati-hati terhadap keselamatan bayi yang di dalam buaian dan juga jangan terlalu lama meletakkan bayi di dalam buaian kerana pergerakannya amat terhad (hanya ke depan dan ke belakang). Ini juga akan melimitkan sentuhan dari ibubapa. Ayunan ketika tidur juga hendaklah dielakkan kerana ia akan membuatkan otak bayi di dalam keadaan “alert” dan tidak dapat rihat secukupnya.

Bagaimana ibubapa dapat membantu

• Untuk meransang deria sentuhan, ibu boleh menggunakan pelbagai fabrik dan meterial seperti tissue, kain kapas, kain bulu, kertas dan sebagainya. Sentuhkan pelbagai fabrik dan material itu ke kulit bayi. Lihat respon bayi. Sekiranya bayi suka dan gembira, aktiviti ini bolehlah diteruskan. Jika tidak, hentikan aktiviti tersebut.

• Selain dari membuai bayi untuk jangkamasa yang lama, ibu juga boleh mententeramkan bayi dengan mendukung dan menggendong bayi. Sesetengah bayi lebih suka berada dalam dakapan dan gendongan ibu.

Perkembangan Bahasa

Para pakar mempercayai bahawa bayi lebih mudah mempelajari bahasa jika dibandingkan dengan orang dewasa. Inilah tahap yang penting dan kritikal untuk perkembangan bahasa. Pada mulanya, bayi mampu mendengar pelbagai jenis bahasa. Walaubagaimana pun, hanya bahasa yang selalu digunakan sahaja yang mampu menguatkan hubungan (connections) di dalam otak. Bayi mula mengeluarkan bunyi-bunyi tertentu (seperti oohs dan ahhhs) di akhir bulan ketiga. Samada kita perasan atau tidak, bayi biasanya memilih konsonan ‘p’, ‘b’ dan ‘m’ untuk ditambah kepada bunyi-bunyi tertentu tadi (seperti pa, ba, dan ma). Semakin hari bayi semakin petah bercakap (dalam bahasanya). Di samping itu, bayi mampu ketawa dan mengeluarkan pelbagai bunyi yang sukar untuk difahami. Namun bagi seorang ibu yang sentiasa berada di samping bayinya, kadang-kadang mampu mentafsirkan percakapan tersebut.

Bagaimana ibubapa boleh membantu

• Menggalakkan bayi bercakap dengan meniru bunyi percakapannya

• Ibu boleh bermain permainan yang menggunakan perkataan yang sama bunyinya (rhyming games) seperti ‘tumbuk-tumbuk emping’ dan sebagainya disamping memberi peluang kepada bayi untuk mengeluarkan bunyi yang sama.

• Bercakap-cakap dengan bayi walaupun pada tahap ini, bayi belum boleh memahami,

• Bernasyid dan menyanyikan lagu kanak-kanak

• Membaca buku-buku cerita yang ringkas dengan kuat supaya bayi boleh mendengar.

• Tunjukkan kepada bayi bahawa kita sangat gembira bercakap dengannya dengan memberi respon kepada setiap bunyi yang dikeluarkannya.

• Jangan menggunakan tv sebagai alternatif untuk merangsang perkembangan bahasa kerana perkembangan bahasa hanya dapat diransang dengan baik dan sempurna melalui interaksi dengan bayi.

Perkembangan Fizikal

Perkembangan otot-otot besar dan kecil (large and small muscle)

Pada tahap ini, bayi mengalami pertumbuhan fizikal yang amat pesat. Jika sebelum ini, pergerakan bayi amat perlahan tetapi pada tahap 3 - 6 bulan pergerakannya semakin pantas. Otot-otot besar (large muscle) bayi membina kekuatan dan penyelarasan. Pergerakan kakinya semakin aktif dan bayi mula meniarap, menyulur dan seterusnya merangkak. Pada tahap sebelum ini bayi mengalami kepayahan untuk mengangkat kepala dan bahu jika ditiarapkan ke lantai, tapi pada usia 5 bulan bayi berupaya berbuat demikian kerana otot yang mengawal pergerakan kepala dan lehernya semakin berkembang dan kuat, Bayi berupaya duduk dan menyeimbangkan diri di dalam kerusinya (walker) dan lama kelamaan bayi mampu untuk berdiri dengan menyokongkan dirinya kepada ibu atau objek.

Pada tahap ini juga otot-otot kecil (small muscle) turut berkembang. Pada usia 3 bulan, bayi sangat gemar bermain dengan jari-jarinya sendiri dan kadang-kadang memasukkan jarinya ke mulut. Bayi berupaya mengambil dan memegang permainannya dengan baik. Pada tahap inilah bayi gemar memasukkan benda-benda yang dipegangnya ke mulut. Oleh itu ibubapa perlu berhati-hati dan sentiasa berwaspada. Otot-otot kecil dan besar sentiasa berkerjasama dalam mengawal pergerakan anggota badan.

Bagaimana ibubapa dapat membantu

• “Child proof” rumah supaya dapat memberi peluang kepada bayi untuk bergerak dengan bebas tanpa rasa was-was akan berlaku kemalangan dan sebagainya. Ibu atau bapa juga boleh bermain bersama-sama bayi di tempat yang luas dan lapang.

• Memberi alat-alat permainan seperti gelang getah dan anak patung supaya bayi boleh berlatih memegang. Alat-alat permainan yang bergerak boleh juga diberi kepada bayi untuk merangsang deria penglihatan.

• Ketika bayi berusia 6 bulan, hendaklah memberi makanan kepadanya dengan menggunakan sudu bukan dengan botol. Bayi perlu belajar menelan makanan yang disuapkan ke mulutnya.

Aktiviti yang sesuai.

Di antara aktiviti yang sesuai untuk bayi pada tahap ini ialah “Pop Goes the Parents”.

Bayi sangat menggemari permainan ‘jack-in-the box’ tapi permainan ini akan menjadi lebih seronok jika ibu atau bapa sendiri yang menjadi ‘jack’

Bahan yang diperlukan

• Kotak yang besar
• Ibu atau bapa atau adik beradik yang lain

Cara Bermain

• Cari kotak yang besar yang boleh muatkan ibu atau ayah. Letakkan kotak itu di tengah-tengah ruang rehat. Samada ibu atau ayah masuk ke dalam kotak itu.

• Kalau ayah yang masuk ke dalam kotak, maka ibu akan mendukung bayi masuk ke ruang itu sambil bertanya “mana ayah?”

• Serentak dengan itu ayah akan muncul dari dalam kotak tersebut.

• Ulang aktiviti ini selagi bayi tidak jemu.

Berhati-hati!!

Muncul dari kotak dengan perlahan supaya tidak memeranjat dan menakutkan bayi. Permainan ini untuk menarik perhatian dan menggembirakan bayi bukan menakutkannya.

Apa yang bayi pelajari dari aktiviti ini:
• Jangkaan (anticipation) dan kejutan (surprise)
• Ungkapan emosi (emotional expression)
• Interaksi sosial (social interaction)

“Baby on the Bus”

Inilah ketikanya bayi melakukan sedikit latihan fizikal. Ia memastikan bayi sentiasa dalam keadaan sihat dan segar.

Bahan yang diperlukan

• Blanket atau tuala yang lembut
• Suara ibu atau bapa

Cara bermain

• Terlentangkan bayi di atas blanket atau tuala.

• Menyanyikan lagu “Wheels on the Bus” sambil membuat pergerakan kepada kaki, tangan dan lain-lain bahagian tubuhnya.

Wheels on the Bus
(Bicycle your baby's legs as you sing the first four lines.)
The wheels on the bus go round and round,
Round and round, round and round,
The wheels on the bus go round and round,
All through the town.
The people on the bus go up and down.
(lift your baby's arms up and down)
The wipers on the bus go back and forth.
(roll baby from side to side)
The horn on the bus goes beep, beep, beep.
(touch your baby's nose)

Berhati-hati!!!!

Gerakkan bahagian tubuh badan bayi dengan lembut dan perlahan
agar tidak mendatangkan kecederaan.


Apa yang bayi pelajari dari aktiviti ini:
• Perkembangan bahasa
• Pergerakan dan pengawalan otot-otot
• Latihan fizikal

Nota: Ibu atau bapa hendaklah kreatif mencipta aktiviti-aktiviti yang mudah dan tidak memerlukan alat permainan yang mahal untuk merangsang perkembangan bayi.

1 comment:

  1. banyak perkara yang perlu dipelajari ye sebelum kita merancang untuk berkeluarga dan mempunyai cahaya mata..

    ReplyDelete